Ahad, 4 Disember 2011

KELAS TERAKHIR






4 Disember 2011... Kami menghadapi midterm test bagi matapelajaran VB6. Dua bahagian soalan Part A n Part B. Part A soalan aneka pilihan, 20 soalan. Mudah soalan tapi jawapan haru sbb dlm Bahasa Inggeris. Part B, bukan ssaje haru tapi biru muka dibuatnya sbb tiada pilihan jawapan. 4 soalan, 60 markah... Banyak tuuuuu..... Namun dapat juga la kami imaginasi soalan sebenar dalam final exam nanti...

KULIAH TERAKHIR




Midterm hari ini 4 Disember 2011 begitu mencabar. Soalan dalam Bahasa Inggeris. Kelu lidahku untuk membaca soalan2 tu..... 20 dal Part A, soalan mmg mudah tapi jawapan haru tu.... Part B lagi haru biru sbb tiada pilihan jawapan.

Sabtu, 3 Disember 2011

INGAT-BERINGAT BUDAYA KITA




Dalam surah Al-Asr, Allah yang bersifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim memperingatkan kita tentang perlunya kita memenuhkan jiwa kita dengan iman, dan kemudian diikuti dengan amal soleh. Iman dan amal soleh adalah gandingan sifat yang berdaya maju untuk memberi motivasi dan sekaligus mengubah diri kita menjadi manusia berakhlak mulia.
Sekadar memperbaiki diri sendiri belum mencukupi. Kita mempunyai misi seterusnya iaitu menunaikan tanggungjawab kepada anak-anak, isteri, keluarga, jiran dan manusia keseluruhannya. Dalam Surah Al-Asr, Allah seterusnya mengingatkan kita supaya memberikan nasihat dan ingat-beringat sesama muslim dan juga non-muslim. Sebagaimana misi para Rasul dan Nabi untuk menyelamatkan umat, kita juga perlu menanamkan tekad yang sama sebab mereka adalah contoh teladan yang terbaik untuk kita ikuti.
Dalam menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada yang mungkar, pastinya kita akan menerima cemuhan dan tentangan, kerana untuk mendapatkan yang baik, lumrahnya akan menempuh kesusahan dan keperitan terlebih dahulu. Nabi Muhammad saw sendiri pernah dicerca, dihina, dipukul, dihalau dan menanggung kesusahan dan kelaparan untuk menegakkan kebenaran dan menghapuskan kebatilan; sedangkan baginda adalah manusia termulia dan maksum. Betapalah pula dengan diri kita yang bergelumang dengan noda dan dosa. Ini adalah lumrah perjuangan. Tidak dinamakan perjuangan dan jihad sekiranya tidak dicuba terlebih dulu dengan kepayahan. Dalam Al-Quran selalu dinyatakan 'di dalam kepayahan ada kebaikan'. Oleh itu setiap diri kita perlu menanggung sabar semasa melakukan usaha nasihat-menasihati ini. Tugas dakwah ini bukan tugas tok guru dan ustaz sahaja. Dalam zaman yang penuh dengan kegelapan di mana manusia sudah ramai yang lari dari Allah, tugas ini menjadi tanggungjawab setiap individu.
Para rasul tidak kenal penat dalam menjalankan usaha dakwah. Mereka tidak berputus asa walaupun usaha mereka tidak berjaya, sebab yang memberikan taufiq dan hidayah ialah Allah swt. Kita berusaha tapi Allah jua yang memberikan petunjuk. Nabi Noh as. meskipun beratus-ratus tahun berdakwah kepada umatnya, namun yang mengikutnya segelintir saja. Bukan makin lama makin bertambah, bahkan ada pula yang lari meninggalkan Nabi Noh. Lantas Nabi Noh membuat bahtera untuk menyelamatkan para pengikutnya dari ancaman Allah. Yang naik bahteranya adalah sebahagian kecil pengikutnya dan juga haiwan peliharaan mereka. Anak dan isterinya sendiri tidak berjaya diselamatkan. Di sinilah letaknya nilai kesabaran yang amat perlu dalam meneruskan perjuangan.
1. Untuk itu saya ingin mengingati diri saya dan juga sdra/i, supaya kekal menunaikan ibadat solat 5 kali sehari semalam. Solat ialah anak kunci syurga dan juga amalan yang mula-mula sekali ditanya dan diperiksa pada hari kiamat. Ia sebagai tiang agama. Apabila sdra/i mengerjakannya bererti anda telah mendirikan agama. Sebaliknya jika ditinggalkan bermakna anda merobohkan agama. Sebaik-baiknya solat secara berjemaah di masjid atau surau.
2. Al-Quran adalah kitab yang paling mulia. Ia merupakan mukjizat Nabi Muhammad saw. Baginda meninggalkan dua perkara yang mana jika berpegang dengan kedua-duanya kita tidak akan sesat selama-lamanya; iaitu Al-Quran dan hadith. Oleh sebab itu, usahlah dijadikan Al-Quran sebagai kitab buruk yang diletak di atas almari tanpa dibaca dan dihayati. Lazimkanlah membaca Al-Quran di rumah anda. Kalau dapat khatamkan sebulan sekali; atau kalau tidak mampu, memadailah sehari sehelai. Ramai antara kita yang boleh membaca akhbar harian berjam-jam, malah ada yang diulang bacaannya. Tetapi mengapa minat membaca ini tidak dijuruskan pada Al-Quran sedangkan ia menjadi pelita dan perisai di dalam kubur kita.
3. Untuk menjaga hubungan baik dan silaturrahim sesama Islam, Nabi menyarankan agar kita sebarkan ucapan 'Assalamu Alaikum' (sejahtera atas kamu). Ini adalah ucapan ahli syurga. Malangnya ada yang beranggapan ucapan salam ini kolot dan tidak diplomatik. Mereka lebih suka mengucapkan 'selamat pagi/petang' atau 'selamat sejahtera'. Ucapan begini walaupun nampak sama maknanya tapi tidak membawa sebarang pahala. Ucapan Assalamu alaikum adalah doa untuk keselamatan sesama Islam. Dengan ucapan itu, kita sudah menyambung silaturrahim.
4. Keberkatan adalah segalanya. Amatlah beruntung jika kita mempunyai umur dan harta yang berkat. Menggunakan usia dan harta di jalan Allah dikira usaha yang diberkati dan Allah membalas dengan berlipat ganda. Untuk memperolehi keberkatan dalam segala amalan dan tindakan kita, biasakanlah membaca 'Bismillahir rahmanir rahim' apabila memulakan sesuatu.
5. Lidah adalah punca segala maksiat. Ia adalah ibarat pedang jika disalahgunakan akan membunuh diri sendiri. Orang tua pernah berkata 'sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan merasa'. Di antara bahaya lidah ialah apabila digunakan untuk mengumpat, menghina, mengejek, memfitnah, mengutuk, memaki, membohong dan sebagainya. Oleh itu sebelum mengeluarkan perkataan hendaklah berfikir terlebih dulu. Gunakan otak sebelum berkata-kata. Jika tidak perlu, lebih baik berdiam diri daripada berkata-kata yang sia-sia.
6. Semua yang ada di muka bumi ini adalah makhluk Allah. Kita juga adalah makhluk Allah sama seperti mereka. Oleh itu berbuat baiklah sesama makhluk Allah walaupun mereka bukan jenis manusia. Allah akan melimpahkan rahmat dan kasih sayang kepada mereka yang menyayangi sesama mereka. Barangsiapa menyayangi makhluk di bumi, nescaya disayangi oleh makhluk di langit (malaikat).
7. Allah memberi nikmat yang banyak kepada kita. Nikmat teragung ialah nikmat iman dan Islam. Sebaik yang menerima nikmat ialah mensyukuri Allah yang mengurniakannya. Bersyukur atas nikmat ialah menggunakan nikmat itu untuk mencari keredhaanNya. Menyalahgunakan nikmat untuk melanggar perintah Allah adalah mengkufuri nikmat.
8. Anak-anak dan isteri adalah petaruhan Allah. Allah akan menanya atas didikan yang kita berikan. Oleh itu berikanlah didikan agama Islam yang sempurna. Penekanan yang begitu serius kepada akademik dan keduniaan menyebabkan anak-anak semakin jauh dari agama Islam. Akhir zaman ini, manusia terlalu asyik mengejar keduniaan dan kebendaan sehingga ramai anak muda jahil dalam perkara agama. Tidak hairanlah ada di antara mereka yang menjual agama kerana material yang sedikit. Oleh sebab tidak adanya perasaan sayang terhadap agama Islam, maka ramai di antara mereka yang menghina ulama dan Islam, malahan menjadi murtad dengan menganut agama yang kononnya menjanjikan kemewahan dan kebahagiaan. Di manakah maruah individu Islam apabila membiarkan di depan mata, anak muda kita dimurtadkan oleh kafir laknatullah?
9. Bantulah Allah dengan mengembalikan kedaulatan Islam dan maruahnya. Kelak Allah akan membantu anda. Didiklah anak-anak muda dengan menyerapkan iman di dada mereka. Mereka bakal menggantikan kita suatu masa nanti. Amalan kita terputus apabila kita mati kecuali doa dan amalan anak kita yang soleh.
10. Ajarkanlah anak-anak dengan Al-Quran. Ramai anak-anak kita dewasa ini celik IT dan celik korporat tapi sayang sekali buta Al-Quran. Mereka tidak pandai membaca Al-Quran, tidak tahu rukun Islam, rukum iman dan perkara-perkara yang berkaitan dengan fardhu 'ain. Siapa yang perlu dipersalahkan, tidak lain dosa tertanggung ke atas bahu ibu bapa kerana anak-anak dilahir ikut fitrah; bapa bertanggungjawab sama ada meyahudi atau mengkristiankannya. Berjaga-jagalah sebelum nasi menjadi bubur.
11. Dalam mengerjakan ibadat, lakukanlah dengan ikhlas bukan seperti melepaskan batuk di tangga atau melakukan secara berpura-pura. Pelajarilah ilmu tasawuf supaya dapat kita ketahui perkara-perkara yang boleh menghapuskan pahala ibadat yang kita lakukan.
12. Di samping mencari kemewahan di dunia, jangan lupa bekalan kita untuk dibawa ke akhirat. Begitu juga jangan lupa tanggungjawab terhadap agama dan bangsa. Mainkan peranan supaya negara yang kita cintai ini ditadbir oleh mereka yang berjiwa Islam; dan bukan mereka yang mengutamakan kepentingan peribadi dan kroni atau mereka yang bersifat zalim.
13. Bertaubatlah sebelum pintu taubat ditutup dan bersedekahlah semasa ada fakir miskin yang mahu menerimanya. Kita semua banyak melakukan dosa dan tidak terlepas dari melakukan maksiat sama ada kecil atau besar. Sebaik-baik orang yang berdosa ialah mereka yang bertaubat. Sedangkan Nabi Muhammad yang maksum tanpa berdosa pun beristighfar dan bertaubat kepada Allah, betapa hal dengan diri kita yang bergelumang dengan dosa. Bangunlah di tengah malam dan bertaubat sambil menangis kerana ketelanjuran berbuat dosa.
14. Kepada orang-orang tua terutama kedua ibu bapa, hendaklah kita hormati dan kasihi. Begitu juga kasihilah anak-anak yatim, fakir miskin dan orang-orang tua. Hulurkanlah apa-apa bantuan, kalau tidak mampu sukakanlah hati mereka dengan kata-kata yang menyukakan mereka. Nabi Muhammad amat menyukai anak-anak yatim. Oleh itu carilah peluang untuk berjumpa dengan anak-anak yatim sambil menyapu kepala mereka.
Saya memohon doa agar saya dan sdra/i semua diberikan Allah kekuatan dan semangat untuk melakukan segala amalan di atas dengan istiqamah dan ikhlas. Semoga kita dimasukkan ke dalam kumpulan Abrar dan diterima Allah sebagai kebajikan yang berterusan. Amin.

KELEBIHAN AL-QURAN


AL-QURAN PENYEMBUH PENYAKIT
"
Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah swt kerana dengan keizinanNya jua dapat kita berjumpa di alam siber - satu alam zahir yang hanya transparent (zahir) bagi pemilik internet. Rencana atau koleksi tazkirah ini insyallah boleh dijadikan sumber rawatan di tengah-tengah kesakitan rohani yang dialami oleh umat dewasa ini. 
Isi kandungan tazkirah ini bukanlah berdasarkan pendapat sendiri malahan saya petik dari pelbagai sumber termasuk Al-Quran, Hadith serta kita-kitab ulamak serta petikan kuliyah yang dihadiri. Dalam Islam sebenarnya sudah tercerna lengkap dengan pelbagai rumusan dan cara rawatan bagi mengatasi masalah kegawatan jiwa dan sebagainya. Ini tidak didapati dalam agama-agama lain yang sibuk bertungkus lumus mencipta teori dan ism untuk mengubat jiwa seperti kaedah yoga, menelan pil, dadah, menonton wayang/tv/video, berkreasi di hutan lipur, memanjat gunung, mengadakan konsert dan pelbagai aktiviti rakan dsb; padahal itu hanya menyesat dan menambahkan kerosakan jiwa yang lebih gawat. 
Jalan keluar bagi semua kekalutan ini ialah melalui Islam yang syumul dan lengkap dari awal hingga akhir dunia. Nabi Muhammad saw sudah menggariskan mereka yang berpegang dengan 2 pusaka yang ditinggalkannya tidak akan sesat selama-lamanya. Kedua-dua sumber itu ialah Al-Quran dan Hadith. 
Jelas, bahawa Al-Quranulkarim adalah alat penyembuh dan pencuci roh teragung yang mampu menggilap semula jiwa manusia untuk kembali ke jalan lurus yang diredhai Allah. Inilah ubat yang hampir pupus dan dilupakan oleh masyarakat modern hari ini sehingga mereka mencari ubat-ubat lain yang bukan menjadi penawar malah menghancurkan kemanusiaan itu sendiri. Ubat yang dijumpai adalah racun pada hakikatnya. 
Tazkirah kali ini akan memfokuskan tentang perlunya kita (terutama diri saya sendiri) supaya bermuzakarah dengan Al-Quran sehingga tilawah Al-Quran menjadi budaya yang mampu merubah atau meruntun perjalanan hidup sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah dan rasulNya. 
Kepentingan Al-Quran: 
  • "Sesungguhnya hati-hati berkarat seperti berkaratnya besi. Sahabat-sahabat bertanya bagaimana untuk mensucikannya, ya Rasulullah? Baginda menjawab, dengan membaca Al-Quran dan mengingati mati." - Hadith
  • "Yang terbaik di antara kamu ialah mereka yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya." - Hadith
  • "Ahli Quran ialah Ahlullah"
  • "Bacalah Al-Quran. Kamu diberi pahala dengan setiap bilangan huruf yang dibaca." - Ibnu Mas'ud
  • "Tiap-tiap ayat di dalam Al-Quran adalah satu darjat di dalam syurga dan satu lampu di dalam rumahmu." - Amr ibnul 'As
  • "Rumah yang dibacakan Al-Quran nescaya lapanglah penghuninya, luas kebajikan, masuklah malaikat dan keluarlah syaitan.  Rumah yang tidak dibacakan Al-Quran, sempitlah penghuninya, sedikitlah kebajikan, keluarlah malaikat dan masuklah syaitan" - Abu Hurairah
Zaman ini, hati manusia sentiasa terdedah dengan kekotoran disebabkan maksiat yang dilakukan. Setiap maksiat membawa kepada dosa dan setiap dosa akan menambah setompok titik hitam di dalam hati nurani dan menjadikan ia gelap hingga sukar melihat jalan kebenaran. Apabila tompok-tompok hitam sudah memenuhi sebahagian besar hati, maka yang benar (haq) dilihat sebagai salah (batil) dan yang salah (bathil) dipandang sebagai benar (haq). Maka ketika itu kompas hidup sudah tidak berfungsi lagi. Syaitan bermaharajalela menunggang diri membawa ke mana saja yang dihajatinya. Hati kita juga tidak terlepas daripada kekotoran ini dan memerlukan penyucian sebagai persiapan untuk berdepan dengan malaikat Munkar-Nakir dan lebih-lebih lagi hebat semasa berdepan dengan Allah Rabbul-Jalil di hari kiamat nanti. Salah satu cara menyuci hati ialah dengan membaca Al-Quran. 
Islam dari dulu lagi menganjurkan umatnya supaya membaca Al-Quran, menganalisa atau meneliti kandungannya serta mengamalkan apa yang dibaca. Generasi awal sungguh gemar dan giat membaca, malah ada yang mengkhatamkan 30 Juz Al-Quran setiap hari, seminggu sekali atau sebulan 2 atau 3 kali. Sungguhpun begitu mereka tetap bergiat dengan kerja-kerja dunia serta maju di dalam pelbagai bidang kehidupan. Musuh Islam memandang potensi yang ada di dalam Al-Quran dan cuba menghalang umat Islam daripada membacanya. Lantas direka pelbagai cara media massa (audio dan video) untuk melalaikan mereka. Akhbar, majalah hiburan, radio, televisyen, video, filem, komputer dan akhir-akhir ini internet direka dan dieksploit untuk merosakkan budaya Islamik yang diterapkan oleh Al-Quran. Ternyata strategi mereka mengena. Akhir-akhir ini kita lihat umat Islam dilekakan dengan TV, radio, komputer, tayangan gambar, majalah hiburan dan sebagainya. Umat Islam semakin renggang dengan Al-Quran. Akhbar harian menjadi ketagihan. Mereka mampu membaca akhbar dari kulit ke kulit dua hingga tiga kali sehari tapi tidak mampu membaca walaupun sehelai atau satu ayat daripada Al-Quran. Mereka mampu duduk berjam-jam di depan set TV tapi tak mampu menghadap tok guru mengajar Al-Quran. Inilah penyakit masyarakat Islam hari ini. 
Kita perlu kembali kepada Al-Quran dan menjadikannya sebagai amalan hidup. Kalau tidak mampu membaca huruf Jawi, perlulah terlebih dulu mempelajarinya. Amat malang generasi kini yang bukan saja buta Al-Quran tetapi buta huruf Jawi yang menjadi perantaraan Al-Quran. Anak-anak murid dulu memang diasuh dan diajar dengan tulisan Jawi tapi malangnya sejak di'haram'kan pendidikan jawi di sekolah oleh seorang 'talibarut' musuh, ramai di antara kita sekarang tidak dapat membaca kita-kitab lama yang bertulisan Jawi. Malang sekali disebabkan tidak mengenal huruf Jawi, lantas Al-Quran diperjauhi dan dipermusuhi. 
Ada beberapa perkara yang harus diperhati semasa membaca Al-Quran. Di antaranya: 
  • suci dari hadas (besar atau kecil)
  • duduk menghadap kiblat
  • dibaca dengan tertib, tartil dan bertajwid
  • memelihara hak-hak ayat
  • disunatkan menangis semasa membaca terutama apabila sampai ayat ancaman dan amaran
  • dinyaringkan supaya sekurang-kurangnya kedengaran oleh dirinya sendiri
Antara amalan-amalan batin yang perlu diperhatikan: 
  • merasakan keagungan Al-Quran dan memikirkan maknanya satu persatu
  • menghadirkan kebesaran Allah di dalam hati
  • khusyuk semasa membaca
  • fahamkan makna yang dibaca
  • berfikiran tenang
Di samping itu, jika dapat jadikan wirid harian/mingguan membaca surah-surah utama seperti Surah Yasin, Al-Mulk, Al-Waqiah, Ad-Dukhan dan sebagainya. 
Apa yang istimewa dalam tilawah ialah sungguhpun berulang-ulang kali dibaca ayat-ayatnya, seseorang tidak berasa jemu malahan semakin terasa akan kehebatan dan kelazatannya seolah-olah sedang berkomunikasi dengan Allah.  Amat benarlah firman Allah "Sesungguhnya orang yang beriman ialah mereka yang apabila disebut nama Allah hatinya menjadi takut gementar dan apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Allah, bertambahlah keimanannya dan mereka bertawakkal kepada Allah." 
Pada peringkat permulaan mungkin agaknya sukar untuk membaca dan mengkhatamkan Al-Quran. Sungguhpun begitu jangan pula tinggalkan langsung sesuai dengan kata orang tua-tua 'kalau tak mampu buat semua, jangan pula tinggalkan semua'. Mulakanlah sedikit demi sedikit. Insyaallah apabila kelazatan membaca sudah menebal, kemampuan untuk membacanya akan bertambah. Insyallah doa dan hajat kita akan dimakbulkan Allah. Hati akan berjinak-jinak dengan kalimah Allah dan berusaha mendengarnya melalui kaset-kaset atau CD Al-Quran yang terdapat di pasaran. Malahan dalam internet terdapat banyak tapak yang menyediakan ruangan Al-Quran secara audio.  Mendengar Al-Quran juga diberikan pahala kerana Nabi saw pernah bersabda "Barangsiapa mendengar suatu ayat dari Kitab Allah (Al-Quran), nescaya ayat itu menjadi nur baginya pada hari kiamat." 
Marilah sama-sama kita mengubah cara hidup kita yang berhobikan hiburan dan material semata-mata kepada hobi mendengar dan membaca Al-Quran. Kurangkan masa membaca akhbar dan gantikan masa tersebut dengan membaca Al-Quran. Semoga hendaknya Allah matikan kita di dalam iman dan menghembuskan nafas terakhir dengan bibir yang masih basah berkumat-kamit melafazkan ayat-ayat suci Al-Quran. Amin. 

SUKAN PPADKT

Kenangan Semasa Sukan Keluarga PPADKT

SELAMAT DATANG KE BLOG IZHA

Kami mengalu-alukan komen saudara/i melalui blog kami.